PRU15: Lebih 200 ahli WARISAN sertai UMNO Libaran

PRU15: Lebih 200 ahli WARISAN sertai UMNO Libaran

Sandakan: Menjelang hari mengundi Sabtu ini, Parti Warisan (WARISAN) Libaran kehilangan ahli yang bertindak keluar parti itu untuk menyertai UMNO, semalam.

Pengisytiharan keluar parti secara beramai-ramai itu diadakan di dua lokasi berasingan iaitu Taman Sri Rimba dan Kampung Sungai Kayu, di sini.

Ghani Yahya menyerahkan borang keahlian sambil diperhatikan ADUN Sungai Sibuga, Datuk Mohd Hamsan Supain.

Di Taman Sri Rimba, Husain Mohamad telah menyerahkan borang keahlian melibatkan 114 orang kepada calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Bahagian UMNO Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.

Sementara itu, 103 orang lagi di Kampung Sungai Kayu turut menyerahkan borang keahlian mereka kepada Suhaimi.

Kesemua mereka terdiri daripada ahli WARISAN dan pengundi atas pagar yang belum berdaftar dengan mana-mana parti.

Mereka secara sukarela meninggalkan WARISAN kerana kecewa dengan pengurusan parti itu yang dianggap lemah dan tidak sistematik.

Malah, mereka sedia menunjukkan sokongan dan akan membantu jentera dalam usaha memenangkan BN di Parlimen Libaran pada PRU15 ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|