PRU15: Kerajaan timbang wujudkan perkhidmatan feri Pulau Bum-Bum – Semporna

PRU15: Kerajaan timbang wujudkan perkhidmatan feri Pulau Bum-Bum – Semporna

Semporna: Perkhidmatan feri menghubungkan Pulau Bum-Bum dan tanah besar, di sini akan dipertimbangkan untuk kemudahan penduduk pulau berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkhidmatan itu dicadang sementara menunggu cadangan jambatan Pulau Bum-Bum menjadi kenyataan.

“Saya akan bercakap mengenai perkara ini dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk melihat sama ada kita boleh memulakan perkhidmatan feri untuk kemudahan penduduk Pulau Bum-Bum,” katanya pada program bersama rakyat, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Semporna, Nixon Abdul Habi dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, Abdul Aziz Ibnu.

Hajiji berkata, perkhidmatan feri itu bakal memberi manfaat kepada penduduk pulau berkenaan.

Mengenai cadangan pembinaan jambatan, beliau berkata perkara itu sudah lama tetapi beliau akan membangkitkannya semula kepada kerajaan persekutuan.

“Jika calon GRS-BN memenangi pilihan raya di sini, saya sendiri akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan persekutuan,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ini banyak bercakap mengenai ‘Reset Sabah’, namun beliau percaya Semporna yang perlu di ‘reset’ terlebih dahulu.

“Kita mesti tidak berpuas hati dengan yang sama tetapi melihat ke hadapan untuk masa depan yang lebih cerah. Kita mesti sempurnakan Semporna,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri GRS-BN akan mengambil langkah menyelesaikan masalah dan isu yang menjejaskan penduduk di sini seperti disuarakan Nixon, termasuk isu infrastruktur di Kampung Simunul dan Bangau-Bangau yang sudah berlarutan sekian lama.

“Jika dia (Shafie) tidak boleh menyelesaikan masalah, maka berikan kepada kerajaan GRS-BN untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata, ia membabitkan kesejahteraan rakyat yang menjadi antara tonggak utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan GRS-BN.

“Kita mempunyai agenda yang besar untuk Semporna dan Sabah. Kita memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan ia sedang berjalan dengan baik.

“Tahun lalu kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 billion, terbesar dalam sejarah dan tahun ini ia disasar lebih RM6 bilion,” katanya.

Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri GRS-BN tidak akan berhenti dalam usaha membawa pembangunan dan kemajuan kepada Sabah dan rakyat melalui Hala Tuju SMJ.

Lebih penting katanya, Nixon adalah calon kerajaan GRS-BN yang menyasarkan untuk membawa kemajuan yang sangat diperlukan di daerah ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|