KSTI konsisten mendukung agenda KPM perkasakan STEM

KSTI konsisten mendukung agenda KPM perkasakan STEM

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri (KSTI) Sabah sentiasa komited dan konsisten mendukung agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa komponen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelan Pembangunan Malaysia.

Menterinya, Datuk Yakub Khan berkata, beliau yakin bahawa KPM sememangnya berkeupayaan untuk berperanan sebagai rakan sinergi yang kompeten.

Katanya, ia diperkukuh lagi dengan kepakaran yang dimiliki oleh guru-guru di sekolah dalam aspek kejuruteraan, sains dan teknologi.

“Pelbagai inisiatif telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi membantu sekolah-sekolah rendah dan menengah khususnya di negeri ini untuk menyuntik minat, membangunkan potensi dan memperkasa daya saing para pelajar dalam subjek-subjek berkaitan STEM.

“Kita sedia maklum KSTI dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) telah lama berhubung erat secara strategik dalam pelbagai perkara.

“Karnival STEM ini merupakan sebahagian daripada manifestasi komitmen kedua-dua pihak untuk mengekalkan hubungan erat tersebut dan pada masa yang sama, aktif meneroka peluang untuk memperluas skop kerjasama yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Karnival STEM Peringkat Daerah Kota Kinabalu bagi tahun 2022, hari ini.

Yakub berkata, Karnival STEM ini telah berjaya menarik penyertaan individu daripada pelbagai peringkat umur.

“Ini membuktikan bahawa program-program berkaitan Pendidikan STEM sebenarnya mampu menembusi pelbagai kumpulan sasar, sekiranya kita kreatif menstruktur aktiviti tersebut secara interaktif dan tidak konvensional.

“Maka, cabarannya kini ialah untuk kita sama-sama memikirkan bentuk, sifat dan rupa program berkaitan STEM yang sesuai dan lestari bagi kumpulan-kumpulan sasar yang khusus dengan kaedah penyampaian yang mudah difahami serta konsep saintifik yang praktikal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|