PRU15: Kunjungan ‘TMJ’ di Inanam dapat sambutan luar biasa

PRU15: Kunjungan ‘TMJ’ di Inanam dapat sambutan luar biasa

Kota Kinabalu: Kunjungan calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) di Sepanggar, Jumardie Lukman ke sekitar Inanam, hari ini, mendapat sambutan luar biasa.

Kebanyakan orang awam termasuk peniaga-peniaga di kawasan pasar Inanam dilihat memangil-manggil nama Jumardie selain tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan calon muda berkenaan.

Kemesraan ditunjukkan Jumardie yang terkenal dengan jolokan TMJ (Tuan Muda Jumardie) juga memudahkan lagi pengundi untuk menghampiri serta beramah mesra dengan beliau.

Ketua Pemuda PKDM itu ketika ditemui berkata, beliau terkejut dengan sambutan yang diberikan pada program ‘walkabout’ itu dan berharap sokongan berkenaan akan diterjemahkan pada hari pengundian, Sabtu ini.

Beliau juga meminta pengundi untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berjuang demi rakyat serta mampu membangunkan kawasan berkenaan, selain tidak hanya bermain politik semata-mata.

Katanya, rakyat atau pengundi sudah tentu mahu pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang dan bukan hanya bermain politik sehingga mengabaikan kebajikan rakyat dan pembangunan kawasan yang diwakili.

“Oleh itu dalam masa berkempen saya tidak mahu memburuk-burukkan mana-mana pihak atau parti lawan kerana bukan itu yang pengundi mahu. Dalam masa kempen kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai misi dan perjuangannya untuk rakyat Sepanggar, Jumardie berkata beliau telah mengariskan sebanyak 12 manifesto antaranya menubuhkan ‘Food Bank Centre’ untuk golongan asnaf, fakir miskin dan golongan B40 di Parlimen Sepanggar.

“Antara manifesto lain adalah mewujudkan Tabung Perkahwinan Belia dan Yayasan Sejahtera Parlimen yang bertujuan untuk mengumpul dana untuk tujuan memberikan bantuan pendidikan, kesihatan, kebajikan dan keagamaan.

“Selain itu kita akan wujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas, Rumah Rakyat Mampu Milik Bersubsidi, Hab Pelabuhan Strategik Sepanggar, Litar Perlumbaan Motosikal, Dataran Sepanggar, Majlis Kebajikan Sosial, Hab Ekonomi Sepanggar, Unit Pemantauan Infrastruktur dan Bencana Alam dan yang terakhir adalah Pemulihan dan Pemeliharaan Alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata kesemua manifesto berkenaan adalah untuk memastikan Sepanggar maju ke hadapan dan akan terkenal di seluruh negara atau di rantau ini.

“Selain daripada manifesto banyak lagi perkara lain yang saya akan lakukan seperti akan mewujudkan pasar ikan di Sepanggar…kita tahu banyak nelayan di Sepanggar namun pasar ikan tiada,” katanya.

Parlimen Sepanggar yang menjadi antara kawasan panas di negeri ini menyaksikan saingan lima penjuru antara Jumardie, Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan); Datuk Yakub Khan (BN) , Mustapha Sakmud (PKR) dan Yusof Kunchang (Pejuang).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|