PRU15: Kota Kinabalu mampu menjadi metropolitan di bawah GRS-BN – Joachim

PRU15: Kota Kinabalu mampu menjadi metropolitan di bawah GRS-BN – Joachim

Kota Kinabalu: Bandar raya Kota Kinabalu diyakini mampu membangun dan berkembang menjadi sebuah metropolitan yang membanggakan jika diwakili Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Justeru, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, warga bandar raya ini perlu keluar daripada belenggu parti pembangkang yang hanya banyak bercakap tetapi kurang bekerja dan memberikan sokongan padu kepada calon GRS.

Yee Tsai Yiew

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, GRS menampilkan seorang calon yang muda iaitu Yee Tsai Yiew, beliau ialah seorang peguam dan lebih layak untuk menjadi calon.

“Selain seorang yang kuat bekerja, Yee juga memiliki perwatakan yang mudah didekati dan mesra rakyat.

“Walaupun muda, beliau mempunyai banyak visi dan saya pasti selepas ini beliau akan berjumpa dengan golongan belia profesional dan bertauliah untuk berbincang hal membangunkan bandar raya Kota Kinabalu, supaya berkembang menjadi sebuah kota metropolitan yang membanggakan,” katanya.

Joachim berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra bersama calon GRS Kota Kinabalu anjuran Persatuan Bola Keranjang Kota Kinabalu (KK) di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), yakin bahawa Yee yang berkelulusan ijazah perundangan mampu membawa banyak perubahan positif di kawasan ini kerana beliau adalah calon kerajaan yang memerintah.

Katanya, kerajaan negeri GRS-BN yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sedang giat membangunkan Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita mahu GRS-BN menjadi kuat lagi, supaya suara kita lebih kuat dalam menuntut hak-hak kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Justeru, kita perlu menyokong calon muda ini.

“Di Parlimen Kota Kinabalu, warga Kota Kinabalu perlu memenangkan calon nombor lima, Cik Yee Tsai Yiew,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|