PRU15: Kerajaan negeri setuju naik taraf Membakut sebagai daerah penuh

PRU15: Kerajaan negeri setuju naik taraf Membakut sebagai daerah penuh

Membakut: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) bersetuju untuk menaik taraf daerah kecil Membakut kepada daerah penuh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu telah dibawa ke Kabinet negeri sebelum diluluskan.

“Banyak lagi pencapaian-pencapaian lain, tapi di Kimanis di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Arif telah mencadangkan di Kabinet negeri agar daerah kecil ini dinaikkan menjadi daerah penuh.

“Kita menyokong cadangan itu dan telahpun diluluskan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan calon BN Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Sementara itu, ketika ditemui media, Arifin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelaras negeri berkata, cadangan menaik taraf Membakut itu telah diluluskan pada awal tahun ini dan kini hanya menunggu pewartaan.

“Pewartaan itu akan dibuat pada tahun ini juga, dan proses pembahagian kawasan juga telah dibuat ke semua kawasan Parlimen Kimanis ini.

Katanya, sekiranya telah menjadi daerah penuh, banyak perancangan pembangunan yang boleh dilaksanakan seperti Pejabat Pendidikan Daerah dan Majlis Daerah sendiri.

“Kita juga akan memohon untuk hospital tetapi dalam tempoh terdekat ini, antara yang telah diluluskan adalah pembinaan Kolej Tahfiz Negeri Sabah.

“Jumlah peruntukan yang disediakan untuk pembinaan ini adalah RM20 juta dan InsyaAllah prosesnya akan dimulakan pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, kempen yang dihadiri bersama dua pemimpin utama GRS dan BN Sabah, iaitu Hajiji dan Bung Moktar mengukuhkan lagi kerjasama dan keyakinan terhadap GRS-BN dalam memastikan semua calon kedua-dua gabungan itu menang pada PRU15 ini.

Kedua-dua mereka bersama-sama berkempen untuk Mohamad yang dicalonkan BN di kerusi Parlimen Kimanis.

Membakut dan Bongawan adalah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kimanis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|