PRU15: Kerajaan tidak mendapat mandat tidak akan bertahan – Hajiji

PRU15: Kerajaan tidak mendapat mandat tidak akan bertahan – Hajiji

Membakut: Kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat tidak akan bertahan lama seperti Parti Warisan (WARISAN), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, pemerintahan WARISAN sebelum ini bukan berdasarkan mandat rakyat, tetapi disebabkan ada wakil rakyat yang melompat hingga menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu jatuh.

Hajiji beramah mesra bersama pengundi Parlimen Kimanis pada majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, Membakut.

“Selepas kira-kira dua tahun memerintah, Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kerana Shafie Apdal terpaksa membubarkan kerajaan disebabkan hilang sokongan.

“Inilah bezanya parti yang mendapat mandat selepas wakil rakyat melompat dengan parti yang mendapat mandat rakyat seperti GRS-BN.

“Kerajaan WARISAN memerintah bukan sebab mandat rakyat tetapi ada wakil rakyat terutama UPKO yang melompat ke WARISAN.

“Keadaan itu menyebabkan kerajaan BN jatuh. Tuhan itu adil, kerajaan yang tidak mendapat mandat, tidak mampu bertahan lama.

“Wakil rakyat yang menyokong WARISAN keluar beramai-ramai hingga menyebabkan PRN terpaksa diadakan,” katanya pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, Membakut, di sini malam tadi.

Hajiji berkata, muafakat dan kerjasama antara GRS dan BN pada PRN itu akhirnya berjaya dan mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri.

“Justeru, kejayaan muafakat GRS-BN di peringkat negeri dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu, akan diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Pilihan raya umum kali ini penting untuk menentukan kerajaan di peringkat Persekutuan. Majlis malam ini ini membuktikan GRS dan BN terus bersama-sama dalam satu perjuangan.

“Jadi, sekarang kita sama-sama bersatu hati untuk menghadapi PRU15. Kita mahu satu kestabilan politik yang kuat, kita sudah mengalami pelbagai rencah politik dalam masa lima tahun ini,” katanya.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dengan cakap dan janji pihak pembangkang dalam PRU15, sebaliiknya terus memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada calon BN Parlimen Kimanis.

“Sudah pasti apabila calon GRS-BN di Kimanis menang pada PRU15 ini, beliau (Mohamad) akan dilantik menjadi timbalan menteri atau menteri penuh.

“Pemimpin seperti ini yang seharusnya menjadi pilihan dan bukannya mereka yang hanya lebih banyak bercakap dan menabur janji.

“GRS akan terus memberi sokongan kepada BN. Kita (GRS) tidak bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri seperti pihak lain.

“Baru-baru ini, calon Warisan di Sepanggar, Datuk Azis Jaman cakap kenapa hanya jawatan Timbalan Perdana Menteri, kenapa tidak Perdana Menteri, macam mana mahu jadi PM, sedangkan di Sabah pun mereka kalah.

“Dua tahun menjadi kerajaan negeri, hala tuju pun tiada melainkan fitnah sana-sini. Apa yang mereka banggakan?

“Mereka bangga dapat menubuhkan syarikat minyak masak, tetapi tidak pernah untung, inilah Warisan.

“Akhirnya kerajaan GRS-BN hari ini juga yang berusaha untuk memastikan minyak masak itu untung. Malah kita berjaya lagi mengeluarkan satu lagi minyak masak dikenali sebagai Sayang,” katanya.

Sambil menjelaskan bahawa beliau jarang bercakap soal politik di mana-mana media massa, Hajiji berkata bagaimanapun pada musim PRU ini, banyak perkara perlu dikongsi bersama rakyat.

“Saya kena bercakap apa yang sudah, sedang dan akan kerajaan negeri laksanakan serta pencapaian kita selama dua tahun memerintah hingga mampu memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion pada tahun lalu. Kejayaan yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Walaupun kita berdepan pandemik COVID-19 pada awal pemerintahan, ia tidak menghalang kerajaan GRS-BN terus mengorak langkah dan mengatur strategi memulihkan ekonomi. Kita atur kerajaan sebaik-baiknya.

“Justeru, pada tahun ini kita dijangka akan mengutip lebih besar lagi iaitu RM6 bilion.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|