PRU15: GRS – BN boleh menang – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menang menerusi kerjasama yang dibentuk untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau yakin terhadap peluang cerah kedua-dua gabungan itu yang sepakat untuk menentang parti lawan.

“Kita mesti lihat gambaran yang lebih besar, janji GRS BN kepada rakyat Sabah, kita bangunkan Sabah.

“Bukan senang jaga banyak parti tetapi dengan kebijaksanaan kedua komponen berjaya melahirkan satu inspirasi, kita gabungkan untuk dihidangkan kepada rakyat Sabah.

“Begitu juga calon, ramai yang mahu tapi kita pilih satu saja. Saya selalu kata tidak jadi calon pun tudak semestinya tidak berjaya. Saya faham setiap pemimpin ada cita cita tetapi bekerjalah macam calon juga walaupun tidak jadi calon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pengumuman calon BN dan GRS yang disempurnakan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan, berkata beliau yakin ramai calon GRS dan BN akan menang jika semua pihak ada ketelusan dalam kerjasama pada PRU15 ini.

“Justeru, saya menyeru kepada penyokong dan pemimpin BN di mana BN tiada bertanding bantulah calon GRS, menangkan mereka. Begitu juga penyokong dan pemimpin GRS di mana tiada calon GRS, bantulah calon BN.

“Saya dan Hajiji berjanji insyaAllah kita akan menyumbangkan kerusi kita kepada kerajaan yang stabil. Kita akan bangunkan Sabah ini.

“PRU ini penting, kalau merajuk satu dua hari itu biasa tetapi lepas ini bangkitlah bantu calon kita sama ada BN atau GRS, kita menangkan. Kalau BN saja memang atau GRS saja menang tiada gunanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|