PRU15: BN tidak lupa calon wanita

Kota Kinabalu: Selain wajah baharu yang akan bertanding mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN), penampilan beberapa calon wanita turut menjadi perhatian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sabah.

Calon BN untuk kerusi Parlimen Lahad Datu, Datin Maizatul Akmam Alawi berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya.

Menurutnya, beliau yakin dengan kelebihan yang dimiliki akan mampu merampas semula kerusi Parlimen Lahad Datu.

“Kalau kita lihat situasi semasa, sokongan telah kembali kepada BN. InsyaAllah kita mampu mengubah dan merampas kembali kerusi tersebut.

“Saya tahu ia tidak mudah, namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana BN mempunyai kelebihan dari segi jentera di peringkat akar umbi, AJK Bahagian, Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda yang sentiasa menyokong,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GRS-BN di Magellan Ballroom, di sini, hari ini.

Bagi calon BN Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berkata, beliau bersyukur kerana telah diberi kepercayaan untuk mewakili parti.

Jelas beliau, dengan adanya kerjasama erat di antara GRS-BN pada kali ini akan mengukuhkan lagi usaha-usaha dalam PRU15.

“Dengan adanya kerjasama di antara GRS-BN pada kali ini, ianya akan menguatkan lagi kerjasama, kepimpinan ataupun sokongan dalam kita melaksanakan kempen PRU.

“Saya menyeru kepada semua pengundi di Parlimen Beaufort, iaitu seramai 43,000 orang, akan mengundi kerajaan BN dan GRS demi kesejahteraan dan juga kebangkitan rakyat kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|