PRU15: Fokus pembangunan prasarana, pendidikan di Pulau Gaya – Shahelmey

PRU15: Fokus pembangunan prasarana, pendidikan di Pulau Gaya – Shahelmey

Kota Kinabalu: Pembangunan dari segi prasarana dan pendidikan menjadi antara tumpuan penting untuk diperjuangkan di Pulau Gaya.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau akan menyuarakan perkara itu di peringkat nasional.

“Secara spesifik bagi kawasan Pulau Gaya ini, saya melihat antara isu yang perlu diperjuangkan adalah berkaitan dengan prasarana dan pendidikan.

“Sekiranya diberi mandat pada 19 November nanti, ini merupakan antara isu yang akan saya bawa ke peringkat persekutuan dan sebenarnya, ini juga termasuk dalam agenda Putatan Maju dan Sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Gaya, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, berkata setakat ini, beliau mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat.

“Setelah sembilan hari berkempen, saya dapat rasakan sambutan yang begitu baik sekali dan pada hari ini kami berada di Pulau Gaya untuk bertemu dengan para pengundi di sini.

“Saya berharap agar para pengundi akan keluar mengundi dengan bijak pada hari pengundian, demi kestabilan dan juga kemakmuran,” katanya lagi.

Dalam lawatan sama, beliau turut berkesempatan untuk menyantuni anak-anak muda di kejohanan bola tampar di Gelanggang Bola Tampar BELIAGAYA.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|