PRU15: Calon GRS-BN diumum Selasa atau Rabu

PRU15: Calon GRS-BN diumum Selasa atau Rabu

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) Sabah dijangka mengumumkan calon masing-masing pada Selasa atau Rabu depan.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, berkata pengumuman itu dibuat selepas semua rundingan dan perbincangan mengenai agihan kerusi dan nama calon selesai sepenuhnya.

Katanya, pembahagian kerusi di antara GRS dan BN sudah selesai, namun ada beberapa perkara perlu dimuktamadkan, khususnya berkaitan pertukaran kerusi.

“Pengerusi GRS dan juga Pengerusi BN Sabah sebelum ini sudah mengumumkan bahawa pembahagian kerusi hampir selesai.

“Kalaupun ada, hanya satu atau dua kerusi, itupun lebih kepada cadangan pertukaran bukan kerana jumlah.

“Jadi, kita menjangkakan akan mengumumkan calon pada 1 atau 2 November, minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Kepada Sekolah-sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam 2022 bagi Zon Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah, di sini, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pihaknya yakin tidak akan berlaku pertembungan di antara parti dalam GRS dengan BN pada PRU15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|