Sabah beri peruntukan besar untuk progam memperkasa wanita

Sabah beri peruntukan besar untuk progam memperkasa wanita

Kota Kinabalu: Sabah komited untuk terus memperkasakan golongan wanita di negeri ini, melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sejumlah RM5.81 juta diperuntukkan untuk Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) manakala RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) pada tahun ini.

Hajiji menekan peranti sebagai simbolik pelancaran Buku Pelan Induk Pembangunan Wanita Sabah sempena sambutan Hari Wanita peringkat negeri di Kota Kinabalu.

“Peruntukan yang besar untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita membuktikan kerajaan amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

“Bagi meningkatkan lagi pembangunan wanita di negeri ini, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan yang penting kepada golongan wanita dalam Belanjawan 2023 negeri yang akan dibentangkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sabah di Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berasa bangga dengan beberapa aktiviti dan projek yang telah serta sedang dilaksanakan oleh JHEWA dan MPWS dalam usaha membangunkan wanita di negeri ini.

Katanya, lrogram dan projek secara kerjasama yang dilaksanakan bersama agensi awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi banyak manfaat kepada rakyat di negeri ini, khususnya golongan wanita.

“Kemajuan wanita adalah kemajuan untuk semua. Memberi keutamaan untuk wanita bukan pilihan, sebaliknya ia adalah keperluan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang inklusif, memberi lebih banyak peluang kepada wanita adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu sebagai penggerak utama kemajuan negara, membangunkan institusi kekeluargaan, mengukuhkan budaya masyarakat penyayang serta memainkan peranan kearah pembangunan ummah disamping kaum lelaki,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan wanita merupakan salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan kerajaan dalam konteks pembangunan negeri.

“Kita telah melihat kejayaan pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang khususnya di negeri ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita, bukan saja dari segi aspek sosial, politik dan ekonomi malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

“Justeru, tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan lagi kerana wanita masih terbelenggu dengan isu yang biasa atau stereotaip.

“Ini termasuklah berkaitan kepimpinan, penglibatan sebagai pembuat keputusan, beban berganda bagi wanita berkerjaya untuk mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga.

“Jurang gender yang masih ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuatan keputusan, merupakan satu kerugian kepada negara yang perlu kita tangani secara bersepadu dan menyeluruh.

“Ini kerana ramai wanita khususnya di Sabah yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi,” katanya lagi.

Sejajar dengan tema sambutan iaitu `Kesaksamaan Bersama Untuk Kelestarian’, beliau berharap ia dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|