PRU15: Buat pilihan bijak, pilih BN-GRS Sabtu ini – Bung Moktar

PRU15: Buat pilihan bijak, pilih BN-GRS Sabtu ini – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah mengingatkan pengundi di negeri ini supaya turun beramai-ramai dan membuat pilihan dengan bijak pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata BN dan rakan kerjasamanya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan masa depan yang lebih baik sejajar kedudukannya sebagai parti pemerintah.

Bung Moktar bersalaman dengan penyokong sejurus tiba di kampung Tanjung Aru Sandakan dalam siri jelajahnya di Sandakan.

Katanya, rakyat perlu memilih calon yang mampu membawa perubahan dan pembangunan di kawasan mereka dan Sabah keseluruhannya, bukannya berdasarkan dakyah atau sentimen dibawa parti lawan.

“Calon BN-GRS mampu membawa perubahan dan pembangunan yang lebih baik di Sabah jika diberi mandat pada PRU15 kerana kita adalah calon kerajaan negeri.

“Kemenangan kita bakal menyumbang kepada kemenangan BN secara keseluruhan bagi membentuk kerajaan baharu persekutuan dan ini sudah tentu memberi kelebihan kepada kita untuk membawa pembangunan di Sabah.

“Justeru, rakyat Sabah perlu memilih calon BN dan GRS pada hari mengundi Sabtu ini. Janganlah terpengaruh dengan dakyah dan sentimen yang dibawa parti lawan kerana mereka tidak mampu membuat apa-apa jika menang sekalipun,” katanya ketika ditemui selepas siri jelajahnya di kampung Tanjung Aru, Sandakan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata berdasarkan sokongan rakyat sepanjang kempen PRU15 sejak 5 November lalu, beliau yakin BN dan GRS mampu memenangi sebahagian besar daripada 25 kerusi di Sabah.

Katanya, rakyat Sabah juga kini sedar rekod pencapaian kerajaan BN sebelum ini adalah yang terbaik berbanding kerajaan selepas itu, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat, selain Parti Warisan (WARISAN) di peringkat negeri.

“Buat apa lagi kita memberi peluang kepada PH atau PN untuk memerintah negara ini sedangkan ketika mereka berkuasa dulu, bukan rakyat yang menjadi keutamaan, sebaliknya keadaan kita bertambah susah.

“Begitu juga di Sabah, WARISAN dulu berkuasa bukan atas mandat rakyat dan gagal membawa perubahan yang signifikan untuk manfaat rakyat negeri ini kerana terlalu banyak berpolitik.

“Sebaliknya, BN dan GRS yang membentuk kerajaan negeri berdasarkan mandat rakyat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020 mempunyai hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah termasuk usaha memulihkan ekonominya,” katanya.

Bung Moktar yang juga calon BN bagi Parlimen Kinabatangan, berkata PRU15 ini sangat penting untuk mengembalikan kestabilan politik negara agar pelabur kembali yakin untuk datang ke negara ini.

Katanya, kemasukan pelaburan penting untuk menjana ekonomi sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat termasuk di Sabah.

“BN mesti dimenangkan supaya apa yang sudah dirancang sebelum ini termasuk apa yang digariskan dalam Belanjawan 2023 dapat dibentang semula dan dilaksanakan sebaik mungkin kerana ada banyak kebaikan yang disediakan untuk rakyat.

“Malah, BN menambahnya lagi dengan janji dalam manifesto PRU15 yang menekankan kebajikan rakyat termasuk usaha menambah pendapatan untuk rakyat di bawah garis kemiskinan supaya pendapatan mereka dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan.

“Jika tidak, apa yang diusahakan ini hanya sia-sia dan akhirnya rakyat yang mengalami kerugian, lebih-lebih lagi jika kerajaan yang dibentuk nanti tidak sehaluan dengan kerajaan GRS-BN di peringkat negeri,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,529 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!