PRU15: BN utamakan solidariti, bukan bolot kerusi

PRU15: BN utamakan solidariti, bukan bolot kerusi

Kimanis: Barisan Nasional (BN) mengutamakan solidariti bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menjalin kerjasama dengan gabungan itu pada PRU15.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui pendekatan itu, BN mengambil kira berapa banyak kerusi yang boleh dimenanginya dan bukan bertanding sebanyak mungkin kerusi.

Katanya, BN boleh bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan bertembung GRS tetapi gabungan itu mengambil pendirian untuk bekerjasama untuk memastikan kemenangan pada PRU15 di Sabah.

“Tiada guna kita dapat semua tapi akhirnya kita tidak menang. Tujuan kita satu saja iaitu untuk menang di setiap kerusi yang kita tanding. Ini nawaitu kita bertanding.

“Apa yang penting bukan berapa banyak kerusi kita bertanding tapi berapa banyak kita boleh menang.

“Kita boleh tanding 25 kerusi di Sabah dan kita boleh bertembung sesama kita.
Namun akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran dan akhirnya kita kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 3 Sabah yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, BN perlu memperolehi kemenangan besar untuk kembali berkuasa pada PRU15 melalui semangat kerjasama dan solidariti bersama rakan dalam BN dan dengan GRS di Sabah.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyempurnakan projek naik taraf Jalan Manggis-Bongawan bernilai RM127 juta dan pembinaan masjid kedua Bongawan dengan peruntukan RM4 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|