PRU15: Bajet 2023 untuk Sabah diteruskan jika BN menang – PM

PRU15: Bajet 2023 untuk Sabah diteruskan jika BN menang – PM

Kimanis: Perdana Menteri berkata, peruntukan disediakan kepada Sabah yang dibentangkan dalam Bajet 2023 sebelum pembubaran Parlimen baru-baru ini akan diteruskan jika Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bajet itu perlu dibentangkan semula, namun ia memerlukan sokongan rakyat Sabah yang akan menjadi penentu kemenangan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menjadi rakan kerjasamanya di negeri ini.

Katanya, kerajaan akan meneruskan pembentangan bajet yang sama jika berjaya membentuk kerajaan dan meluluskannya demi kepentingan rakyat Sabah.

“Kuasa terletak kepada rakyat pada 19 November ini untuk menentukan, sama ada bajet dapat dibentang atau dirombak orang lain.

“Bajet yang baik untuk rakyat ini harus dilaksanakan dan ia hanya boleh direalisasikan dengan mengundi BN. Kita akan teruskan dengan pembentangan bajet yang sama, kita luluskan demi kepentingan rakyat,” katanya pada Program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Zon 3 Sabah, di sini, hari ini.

Melalui Bajet 2023, Ismail Sabri berkata Sabah akan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM6.3 bilion bagi projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan, membabitkan kenaikan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion pada bajet tahun ini.

Katanya, sejumlah RM1.2 bilion turut disediakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah daif bagi menggantikan bangunan kayu lama demi keselesaan murid di Sabah dan Sarawak yang membabitkan 123 projek di Sabah.

Pada masa sama katanya, liputan internet di Sabah akan ditingkatkan lagi melalui projek sambungan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjumlah RM180 juta bagi menyelesaikan sepenuhnya isu liputan digital di Sabah, manakala RM834 juta untuk projek luar bandar.

“Selain itu, Sabah juga mendapat bayaran daripada PETRONAS sebanyak RM3.226 bilion selain RM1.991 bilion cukai jualan petroleum menjadikan jumlahnya lebuh RM5 bilion.

“Kita juga bersetuju setiap projek baharu di Sabah yang membabitkan pembangunan minyak dan gas, kerajaan Sabah akan terbabit sama dengan PETRONAS melalui ekuiti dalam setiap projek.

“Ini jelas sebelum ini tidak pernah berlaku dan kita berikan sebahgiannya dan insyaAllah kita akan beri lagi apa dipersetujui,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|