PRU15: 10 perkara dalam manifesto calon BN untuk Labuan

PRU15: 10 perkara dalam manifesto calon BN untuk Labuan

Labuan: Barisan Nasional (BN) Labuan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menggariskan 10 perkara berkaitan kepentingan rakyat di pulau ini.

Manifesto itu yang dilancarkan semalam disasar sebagai usaha mengembalikan mandat rakyat di kerusi Parlimen Labuan kepada BN.

Calon BN Labuan, Datuk Bashir Alias berkata, 10 perkara dalam manifesto itu diperjuangkan demi kepentingan rakyat dan komuniti peniaga di wilayah persekutuan ini.

Katanya, janji pertama dalam manifesto itu adalah memperkasa program pembangunan ekonomi dengan penyertaan anak muda; diikuti usaha memperkasa institusi dan kecemerlangan pendidikan dengan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), mengurangkan kos sara hidup; memperbanyakkan rumah mampu milik dan memperkasakan peranan serta penglibatan wanita dalam sektor pembangunan sosio ekonomi.

Lima janji yang lain, katanya adalah memperjuangkan isu nelayan; menaik taraf sistem saliran dan hakisan pantai; menaik taraf dan meningkatkan kualiti infrastruktur asas – bekalan air, letrik dan telekomunikasi; mempelbagaikan sektor ekonomi dan pelancongan serta meningkatkan kestabilan dan kemakmuran Labuan.

“Kita tidak akan menjanjikan sesuatu yang kita tidak dapat laksanakan tetapi kesemua janji dalam manifesto ini adalah yang boleh dipenuhi.

“Janji-janji ini membabitkan isu-isu yang telah lama membebankan rakyat dan perlu penyelesaian konkrit,” katanya.

Bashir berdepan persaingan enam penjuru menentang penyandangnya, Datuk Rozman Isli (WARISAN), Datuk Suhaili Abd Rahman (PN) dan Datuk Dr Ramli Tahir (PH).

Dua lagi calon lain ialah Dayang Rusimah@Raynei Mohd Din dan Datuk Seri Ramle Mat Daly masing-masing dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|