10 rumah setinggan terbakar

10 rumah setinggan terbakar

Lahad Datu: Sekurang-kurangnya 10 rumah di kawasan setinggan di Kampung Puyut, di sini, musnah terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, semua rumah jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.34 pagi.

Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi segera melancarkan operasi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Api kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.41 pagi dan ketika ini pasukan operasi masih giat menjalankan kerja-kerja pemadaman,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini.

“Tiada mangsa yang terlibat dan sebarang maklumat terkini akan di kemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|