Semporna: UMNO sedia berhadapan dengan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk merampas semula kerusi Parlimen Semporna pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua UMNO Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan, berkata pihaknya yakin calon UMNO Barisan Nasional (BN) boleh bersaing berdasarkan kerja keras jentera dan prestasi BN yang kembali pulih ketika ini.
Katanya, keyakinan itu juga berdasarkan sokongan terhadap UMNO di daerah ini yang semakin baik berikutan banyak aktiviti turun padang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.
“Ramai beranggapan WARISAN di Semporna sangat kuat, namun kami percaya dapat mengatasi mereka memandangkan rakyat sudah mula yakin dengan kepemimpinan kerajaan sekarang.
“Berikutan itu, UMNO akan melipatgandakan lagi usaha, sebab tidak mustahil kita boleh merampas semula kerusi Parlimen Semporna daripada WARISAN,” katanya ditemui pada majlis perjumpaan bersama pemimpin akar umbi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan, di sini, hari ini.
Abdul Manan yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulabayan, berkata UMNO Semporna sudah cukup bersedia untuk menghadapi PRU-15 termasuk berdepan dengan WARISAN.
Bagaimanapun, katanya keputusan akhir sama ada UMNO meletakkan calon atau tidak di kerusi Parlimen Semporna diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Sekiranya diarahkan untuk bertanding pada PRU-15, jentera UMNO akan bekerja keras supaya boleh memperolehi kemenangan di Semporna.
“Paling penting adalah memastikan kerajaan sekarang dapat kekal menerajui kepimpinan, manakala soal calon pula, kita akan sokong sesiapa sahaja yang dipilih pucuk pimpinan,” katanya.
Jelasnya, banyak perancangan untuk memajukan rakyat dan daerah Semporna dirancang sekiranya kerajaan sekarang dapat dikekalkan.
Apa yang paling penting, katanya pembelaan rakyat perlu dilakukan termasuklah menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan pembangunan di Semporna.
Kerusi Parlimen Semporna dipertahankan Mohd Shafie atas tiket UMNO BN dari 1995 hingga 2016 sebelum dipecat daripada UMNO dan kemudian menghidupkan WARISAN.
Mohd Shafie sekali lagi berjaya memenangi kerusi Parlimen Semporna pada PRU 2018, kali ini atas tiket WARISAN dan beliau dijangka akan terus mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU-15 yang mungkin diadakan sebelum akhir tahun ini atau tahun depan.
-Deasoka