Kota Kinabalu: “Saya bukan bersara, saya masih ahli politik dan ahli parti (UMNO),” kata bekas Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad ketika memberikan respons mengenai kedudukannya ketika ini.
Penjelasan itu sekali gus menunjukkan beliau tidak menolak jika dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang di kerusi Parlimen yang pernah disandangnya sebelum ini.
“Saya tidak ‘melompat’, saya masih dalam UMNO, Barisan Nasional (BN). Pertimbangan besar akan difikirkan tetapi terus terang memang dari dulu saya bukan pelobi. Kalau saya pelobi mungkin saya sudah jadi menteri,” katanya pada sidang akhbar di Kapayan, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ingin membuat kemunculan semula selepas kali terakhir bertanding di kerusi Parlimen Sipitang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
Sapawi yang juga bekas Ketua Bahagian UMNO Sipitang mula bertanding dan menang di kerusi berkenaan pada PRU 2008 menggantikan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Yusof Yacob yang tidak dicalonkan semula.
Pada PRU 2018, Sapawi kembali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin tetapi kalah di tangan Dr Yusof yang ketika itu dicalonkan Parti Warisan (WARISAN).
Sebelum PRU 2008, Sapawi pernah menyandang kerusi DUN Sindumin dari 1994 hingga 2004.
Sementara itu, veteren politik itu turut memaklumkan dia sebelum ini hanya memberi peluang kepada golongan muda untuk bertanding susulan keadaan politik semasa ketika itu.
“Saya tidak melompat cuma saya bagi ruang kepada timbalan saya ketika itu. Dalam keadaan suasana politik semasa, yang sebenarnya perlu dilihat secara menyeluruh dan kebetulan di Sipitang ketika itu yang bertanding ialah orang muda-muda.
“Jadi saya rasa bagi peluang kepada mereka dan kita perhati dan beri pandangan serta nasihat kalau mereka memerlukannya,” jelasnya.
Menjelang PRU-15 yang dijangka sebelum akhir tahun ini atau tahun depan, kerusi Parlimen Sipitang mula dilihat menjadi rebutan selepas Dr Yusof baru-baru ini turut menyatakan sedia untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Dr Yusof kini sudah kembali ke pangkuan UMNO selepas kira-kira tujuh bulan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas berikutan tindakannya meninggalkan WARISAN pada Oktober tahun lalu.
Ketika ini kerusi itu Parlimen Sipitang disandang Timbalan Menteri Kewangan II yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah, Yamani Hafez Musa dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Yamani memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN pada PRU 2018, namun membuat keputusan meninggalkan parti sebelum menyertai BERSATU bersama beberapa lagi bekas pemimpin UMNO Sabah.
-Deasoka