Kota Kinabalu: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah tidak berhasrat melepaskan kerusi Parlimen Beaufort yang disandang ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menjelaskan perkara itu, Azizah berkata Srikandi BERSATU akan mempertahankan kerusi berkenaan walaupun kemungkinan bukan beliau yang dicalonkan semula.
Beliau berkata, terpulang kepada kepemimpinan parti untuk membuat keputusan mengenai calon asalkan permintaan Srikandi supaya calon wanita dikekalkan di kerusi berkenaan dikekalkan.
“Kita akan pertahankan kerusi Parlimen Beaufort walaupun mungkin bukan saya yang dicalonkan. Tidak bermakna kalau saya tidak dicalonkan saya akan lari, Srikandi akan tetap mempertahankan kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi BERSATU Sabah, di sini, hari ini.
Kerusi Parlimen Beaufort dimenangi Azizah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili UMNO sebelum meninggalkan parti itu dan menyertai BERSATU bersama sebahagian lagi bekas pemimpin UMNO negeri.
Sebelum ini, UMNO turut menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan pada PRU-15 atas alasan ia adalah kerusi tradisi parti itu.
Sementara itu, Azizah mengulangi harapan Srikandi BERSATU Sabah agar calon wanita daripada parti itu diberikan sekurang-kurangnya empat kerusi untuk ditandingi pada PRU-15.
Beliau membayangkan, selain Parlimen Beaufort, kerusi lain yang disasarkan masing-masing di pantai timur, pedalaman dan utara negeri ini.
“Kalau diberikan lebih daripada empat kerusi lagi baik tetapi kita berharap empat kerusi ini mesti diberikan kepada wanita.
“Jika kawasan yang kita sasarkan tidak diberikan kepada Srikandi, kita berharap diberikan kerusi lain yang ada peluang untuk menang, asalkan empat kerusi yang diminta itu ditunaikan.
“Soal calon tiada masalah kerana kita sudah ada calon yang berkelayakan dan boleh diketengahkan ke peringkat nasional kerana PRU adalah untuk memilih wakil rakyat nasional,” katanya.
Sementara itu, mengenai kepemimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan dilancarkan pada 26 Mei ini, Azizah yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata pemimpin wanita harus diberikan tempat yang sewajarnya dalam gabungan baharu itu.
Katanya, ia sejajar sumbangan wanita dalam politik yang sama penting dan tidak seharusnya hanya dilihat sebagai pelengkap kepada sesebuah organisasi.
“Mana-mana gabungan politik, wanita tidak boleh dipinggirkan, sebaliknya perlu dipandang serius kerana 50 peratus penduduk termasuk pengundi di negara dan negeri ini adalah wanita.
“Secara purata juga wanita paling ramai mengundi dan yang bekerja di bawah pun wanita juga. Oleh itu sesiapa saja yang terlibat menubuhkan gabungan politik mesti ingat wanita sebagai rakan dan bukan sebagai pelengkap saja.
“Wanita mesti menjadi sebahagian daripada organisasi,” katanya.
-Deasoka