Kerajaan GRS-BN teruskan Program PANTAS, percepat pengeluaran geran NT

Telupid: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) meneruskan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi menyelesaikan kerja pengukuran tanah adat anak negeri (NCR) di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pengeluaran geran tanah rakyat negeri ini kerana ia menjangkau soal kehidupan tanpa mengira suku bangsa, anutan mahupun fahaman politik.

Hajiji menerima buku Aspirasi Pembangunan Daerah Telupid daripada Jonnybone di Telupid.

“Program PANTAS yang dilaksanakan sejak 2011, kini diteruskan oleh kerajaan GRS-BN kerana menyedari kepentingan pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri ini, khususnya anak negeri di luar bandar, termasuk di daerah Telupid ini.

“Pendekatan untuk meneruskan Program PANTAS ini juga untuk memastikan pengeluaran geran NT bagi tanah NCR yang sudah lama diduduki dapat dipercepatkan bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini”, katanya.

Hajiji menandatangani plak perasmian bangunan baharu Majlis Daerah Telupid.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Telupid, Pelancaran Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid (2022-2030) dan perasmian bangunan baharu Majlis Daerah Telupid di Dewan Majlis Daerah Telupid, di sini, hari ini.

Hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone J Kurum; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Jamili Nais; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew dan Pegawai Daerah Telupid, Celestine Jetony.

Hajiji memotong riben sebagai tanda perasmian bangunan baharu Majlis Daerah Telupid.

Hajiji menyerahkan sebanyak 181 geran tanah NT melibatkan keluasan 1,294.296 ekar dan warta simpanan kampung iaitu Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Telupid Batu 4, seluas 201.336 ekar.

“Kerajaan mahu supaya proses pengeluaran geran tanah ini diperkasa dan diperhebatkan lagi tahun ini. Pada 2021, kerajaan negeri berjaya mengukur tanah untuk golongan anak negeri seluas 15,511.52 hektar dan mewartakan sebanyak 80 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Khas untuk anak negeri,” katanya.

Mengulas mengenai Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid 2022-2030), Hajiji yakin pelan pembangunan itu dapat membantu memacu kemajuan dan pembangunan Telupid.

Beliau berharap buku itu digunakan pemimpin setempat sebagai panduan dalam pembangunan daerah ini agar Aspirasi Daerah Telupid dapat direalisasikan demi kepentingan dan faedah rakyat di daerah ini.

“Saya tahu, Telupid antara daerah yang masih memerlukan banyak pembangunan dan saya berharap pelan ini akan mendapat sokongan semua pihak yang berkaitan agar ia dapat dijayakan demi manfaat rakyat.

“Kerajaan GRS-BN akan memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke daerah ini yang masih ketinggalan. Kerajaan juga sentiasa menyokong dan membantu merealisasikan perancangan untuk menjayakan pelan pembangunan mana-mana daerah di negeri ini termasuk di daerah Telupid,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata bangunan baharu Pejabat Majlis Daerah Telupid, diharap dapat meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memacu pembangunan di daerah ini.

“Saya juga mahu melihat majlis daerah lebih proaktif dalam meningkatkan hasil. Jika kita tidak melaksanakan seperti yang diamanahkan, kita akan terus menjadi liabiliti kepada kerajaan.

“Justeru, saya mahu semua pegawai yang dilantik memegang jawatan masing-masing supaya memainkan peranan dalam majlis daerah yang dibentuk,” katanya.

Hajiji berkata, Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya(SMJ) hanya akan kekal sebagai dokumen jika tidak isi kandungannya tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Mereka yang diamanahkan untuk menjalankan tugas itu perlu melaksanakan perancangan berkenaan.

“Setakat ini, saya gembira kerana kami telah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh setahun selepas melancarkan Halatuju SMJ dengan berjaya menarik beberapa pelaburan mega dan banyak lagi kini dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya semua pihak tidak boleh leka atau berpuas hati hanya dengan pencapaian itu, sebaliknya perlu sentiasa konsisten untuk mencapai lebih banyak lagi kejayaan demi rakyat dan negeri ini.

“Oleh itu, marilah bersama-sama saya secara progresif untuk terus melangkah ke hadapan. Marilah kita lakukan ini untuk rakyat dan Sabah yang tercinta.

“Apa yang penting, rakyat akan terus bersama kita kerana kerajaan GRS-BN adalah kerajaan yang prihatin kepada rakyat termasuk di luar bandar. Marilah kita berganding bahu untuk sama-sama membangunkan negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membina Dewan Masyarakat Daerah Telupid yang baharu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|