PRU-15: Rakyat cenderung pilih parti tempatan – Pairin

PRU-15: Rakyat cenderung pilih parti tempatan – Pairin

Kota Kinabalu: Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berpendapat rakyat akar umbi di Sabah cenderung untuk memilih parti tempatan bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Ketua Menteri yang juga pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menyatakan demikian berdasarkan dapatan daripada maklum balas akar umbi di negeri ini.

Katanya, sokongan terhadap parti dari luar dijangka kurang kerana ia dilihat mempunyai agenda lain dan tidak menumpukan usaha melindungi hak serta masa depan negeri ini.

Sebaliknya, beliau berkata parti luar dilihat lebih kepada kuasa dan kawalan ke atas Sabah.

“Mereka (rakyat akar umbi) kata cukup-cukuplah! Jadi siapa yang akan membuat keputusan dalam pilihan raya Parlimen kali ini? Sudah tentu rakyat! Mereka adalah pengundi dan menjadi tanggungjawab mereka untuk membuat keputusan dengan betul.

“Namun, bagaimana pengundi dapat dibimbing? Ada banyak parti politik di Sabah dan nampaknya juga ada ramai calon akan bertanding mewakili parti masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi berlaku adil kepada pengundi, khususnya generasi muda, mesti ada dalam minda mereka untuk melindungi Sabah dan masa depannya, selain keselamatan serta pembangunan generasi masa depan.

Jelasnya, pengundi muda perlu memilih dan menanamkan dalam minda mereka untuk menyokong dan mengundi calon mewakili parti politik tempatan yang jelas kelihatan lebih aktif dan bersedia berjuang untuk Sabah serta masa depannya.

“Paling penting tiada agenda tersembunyi yang merugikan Sabah dan generasi masa depannya.

“Bimbingan lain yang sangat penting ialah untuk mengelak pengaruh umpan politik dalam bentuk kewangan atau kebendaan. Perkara ini pernah berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.

“Pengundi perlu dipandu kebijaksanaan dan akal budi. Fikirkan masa depan anda dan masa depan Sabah,” katanya.

Pairin berkata dalam sistem demokratik, mana-mana parti politik atau individu boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Katanya, mana-mana calon boleh bertanding di mana-mana kawasan pilihan raya dan memberi pelbagai janji kepada pengundi.

“Namun, semua calon bergantung kepada pengundi untuk menang. Jika pengundi memberikan undi majoriti kepada seseorang calon, dia akan menang.

“Terpulang kepada pengundi untuk membawa keputusan yang diinginkan. Pengundi berdaftar mempunyai tanggungjawab penting untuk mengundi calon dan parti politik yang betul,” katanya.

Mengulas lanjut, Pairin berkata memandangkan PRU-15 adalah pilihan raya Parlimen bagi Sabah, pengundi perlu memastikan Ahli Parlimen yang dipilih dari negeri ini akan mempertahan dan melindungi hak, kepentingan serta kedaulatan Sabah dan masa depannya apabila mewakili Sabah di Parlimen.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|