Lelaki hilang ditemui selamat

Lelaki hilang ditemui selamat

Tuaran: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 11 Oktober lalu di kawasan kebun di Kampung Kitapol, di sini, ditemukan selamat hari ini.

Inereus@Hendry Anthoni, 25, dari Kampung Kitapol, Kiulu itu, ditemukan jam 11 pagi dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung kira-kira 11 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga ditamatkan hari ini sebaik mangsa ditemui.

Katanya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung menyambung operasi SAR memasuki hari ketiga pada jam 10.15 pagi.

“Kira-kira jam 11 mangsa akhirnya ditemui oleh penduduk kampung di kawasan kebun dengan jarak 11 kilometer dari PKB.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat. Operasi ditamatkan pada jam 12 tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada Selasa lalu, seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Kitapol, Kiulu di sini.

Inereus dikatakan kali terakhir dilihat keluar untuk ke rumah datuknya di Kampung Sinansag, Kiulu melalui jalan kebun, jam 3 petang.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa hanya menyedari kehilangannya selepas mangsa tidak balik ke rumahnya sehingga ke malam hari kejadian.

Usaha mencari mangsa dijalankan penduduk kampung namun gagal sebelum menghubungi JBPM Sabah untuk mendapatkan bantuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|