Masidi sahkan Wetrom keluar BERSATU

Masidi sahkan Wetrom keluar BERSATU

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, malam ini mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda keluar daripada parti itu.

Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjawab ‘ya’ ketika ditanya sama ada Wetrom keluar BERSATU berikutan tular khabar angin mengatakan beliau menghadiri program WARISAN di Matunggong, hari ini.

Difahamkan, Wetrom yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri bertindak demikian kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu yang diperuntukkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Wetrom yang memenangi kerusi DUN Bandau pada PRN-16, September 2020 dijangka mengadakan sidang media berhubung tindakannya itu pada minggu depan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka bulan depan, GRS komited untuk membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan mengagihkan kerusi di antara parti komponennya.

GRS merangkumi BERSATU, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Kerusi Parlimen Kota Marudu ditandingi PBS sejak era kerajaan PBS hinggalah pada PRU-14 pada 2018 dan dijangka terus kekal ditandingi parti itu pada PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|