PBRS mahu BN bertanding solo di Sabah

PBRS mahu BN bertanding solo di Sabah

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini menyatakan pendirian menyokong agar Barisan Nasional (BN) bergerak solo untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk di Sabah.

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sedang dirunding ketika ini hanya menguntungkan Perikatan Nasional (PN).

“PBRS dan pemimpin lain menyokong penuh kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN akan bertanding secara solo dan menyarankan agar keputusan itu dibuat secara konsisten merangkumi PRU-15 di Sabah juga, selaras dengan memorandum awal PBRS kepada BN.

“PBRS percaya bahawa kerjasama yang bakal dijalin diam antara BN dan GRS hanya memberi kelebihan kepada pihak PN,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, ia juga mengambil kira maklum balas 99 peratus pemimpin bahagian dan penyokong akar umbi PBRS yang tidak bersetuju bekerjasama dengan gabungan itu.

“Maka, PBRS berpendirian teguh agar BN bergerak secara solo dalam mendepani PRU-15 untuk mengekalkan imej BN yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Ketika ini PBRS hanya menyandang satu kerusi Parlimen iaitu di Pensiangan oleh Timbalan Presidennya yang juga bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

PBRS adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang masih menjadi komponen BN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|