Generasi muda canggung bertutur bahasa ibunda

Generasi muda canggung bertutur bahasa ibunda

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, generasi muda zaman sekarang semakin canggung bercakap dan berbual dalam bahasa sukuan masing-masing.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan kelemahan masyarakat itu sendiri yang tidak menggunakan bahasa ibunda apabila bertutur dengan anak-anak.

Hajiji menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik RTM pada majlis perasmian Anugerah Carta Lagu Popular Bajau SABAHVfm Musim Ke-8 di Pentas Terbuka Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran.

“Ini bukan salah teknologi, sebaliknya kelemahan kita sendiri kerana meskipun kita mahir berbahasa suku masing-masing, namun apabila bertutur dengan anak-anak, kita cenderung tidak menggunakan bahasa ibunda.

“Saya berharap dengan penganjuran dan pertandingan lagu-lagu suku kaum di Sabah seperti Anugerah Carta Lagu Popular Bajau, ia akan menjadi satu usaha untuk menggalakkan generasi muda kita mahir bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing”, katanya.

Hajiji diperkenalkan kepada tetamu asing yang menghadiri majlis perasmian Anugerah Carta Lagu Popular Bajau SABAHVfm Musim Ke-8 di Pentas Terbuka Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Carta Lagu Popular Bajau SABAHVfm Musim ke-8 di Pentas Terbuka Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran, semalam.

Program itu adalah anjuran bersama Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (Unit SABAHVfm) dan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah.

Hadir sama Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Nor’ain Bakir dan Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan TV yang menjalankan tugas Pengarah Penyiaran Sabah, Cyril Simon.

Justeru itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berharap langkah RTM memperkasakan lagu-lagu suku kaum seperti Bajau, Kadazan, Dusun, Murut, dan suku-suku lain di Sabah, secara tidak langsung akan mengangkat dan memartabatkan bahasa sukuan di negeri ini.

“Ia bukan bermakna kita membelakangkan atau menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua, sebaliknya kita berusaha agar generasi muda tidak melupakan bahasa ibunda yang akhirnya akan menjadi punca kepada kepupusan bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Katanya, muzik dan lagu sama ada Bajau, Kadazandusun, Melayu, Cina atau India membentuk dan mewujudkan identiti budaya Malaysia yang unik melalui penggunaan bunyi instrumen dan irama yang unik.

“Justeru, saya gembira melihat RTM mengambil beberapa langkah ke hadapan dalam usaha memartabatkan bahasa pelbagai suku kaum di Sabah.

“Kita sedia maklum di negeri Sabah terdapat lebih 33 etnik, dengan 50 bahasa dan 80 dialek yang berbeza. Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah adalah Bajau, yang meliputi Bajau di kawasan pantai barat dan pantai timur Sabah.

“Saya melihat ACLPB SABAHVfm Musim ke-8 ini amat bertepatan kerana Ia bukan sahaja mengetengahkan bakat pencipta dan penyanyi dalam bahasa Bajau, tetapi secara tidak langsung berupaya memupuk minat dalam kalangan generasi muda suku kaum Bajau untuk mempelajari dan seterusnya bertutur dalam bahasa ibunda mereka,” katanya.

Hajiji juga berharap semua usaha dan inisiatif yang dilakukan pihak RTM mampu mengangkat kembali bahasa suku kaum yang ada di negeri ini.

Anugerah Carta Lagu Popular Bajau (ACLPB) merupakan pertandingan dwi-tahunan yang bermula pada 2006, namun tidak dapat diadakan sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|