PRU-15: PBRS mahu tanding tiket BN di Batu Sapi

PRU-15: PBRS mahu tanding tiket BN di Batu Sapi

Sandakan: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong penuh pendirian Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kedudukan BN yang akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penyelaras PBRS-BN Parlimen Batu Sapi yang juga Ketua Komunikasi Korporat PBRS Pusat, Mohd Fazil Ajak, berkata berikutan itu, PBRS berkemungkinan akan meletak calon di kerusi berkenaan.

Beliau berkata, walaupun perkara itu tidak dibincangkan bersama Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dalam siri pertemuan bersama Pengerusi BN Sabah sebelum ini, ia tidak menjadi halangan untuk menuruti pendirian BN Pusat.

“Saya tidak menolak kemungkinan akan bertanding pada PRU-15 kali ini bagi menyahut seruan ‘BN for solo’ di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kurup semalam mengenai pendirian PBRS yang mahu BN bertanding solo di Sabah dan melupakan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkannya hanya menguntungkan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Fazil berkata amat penting bagi mengukuhkan sokongan rakyat terhadap BN daripada terus dikaburi dengan kerjasama yang hanya menjadikan rakyat bingung dan akhirnya merosakkan kestabilan serta kemakmuran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|