Kota Kinabalu: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sepanggar bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Yang Dipertua PAS Sepanggar, Dr Aliakbar Gulasan berkata, pihaknya sudah bersedia dari pelbagai sudut termasuk jentera dan sebagainya.
“Jentera pilihan raya sudah bersedia dari semua segi termasuk kewangan, kemahiran dan latihan. Semuanya sudah disusun lebih awal.
“Jadi PAS Sepanggar bersedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika berucap pada Program Berbuka Puasa bersama Jentera Pilihan Raya PAS Sepanggar, di sini, semalam.
Bagaimanapun, beliau yang juga Setiausaha PAS Sabah turut menegaskan bahawa PAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti yang jujur dalam persahabatan.
“PAS apabila berkawan sentiasa setia kawan dan tidak khianat dalam mana-mana perjanjian yang dimeterai selagi tidak melanggar prinsip dan dasar perjuangan,” katanya.
Sehubungan itu, dalam majlis terbabit Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas parti yang istiqamah dan setia bersama parti ketika susah atau senang dan ketika menjadi pembangkang atau kerajaan.
-Deasoka