JHEAINS lancar DSKP, buku teks baharu Sekolah Agama Negeri

Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) semalam melancarkan Dokumen Standard Kurikulum Pembelajaran (DSKP) dan buku teks baharu untuk mengantikan buku teks lama yang digunakan di Sekolah Agama Negeri (SAN).

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, buku teks baharu yang diedarkan di 105 SAN di seluruh negeri sejak Mac lalu adalah berteraskan Al-Quran dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mohd Arifin menyampaikan buku teks baharu kepada guru dari SAN seluruh Sabah pada Majlis Pelancaran DSKP dan Buku Teks Baharu SAN di Kota Kinabalu.

“DSKP ini sangat penting untuk penyelarasan apabila menghasilkan buku teks atau penyelarasan ketika mengajar dan juga penyelarasan dengan agensi lain termasuk yang mempunyai bidang pendidikan agama iaitu Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan sebagainya.

“Dalam buku teks yang baharu ini ada standard kurikulumnya yang sudah kita selaraskan dan kita juga tekankan berdasarkan garis panduan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran DSKP SAN dan Buku Teks Baharu di sini, semalam.

Mohd Arifin melancarkan DSKP dan Buku Teks Baharu SAN di Kota Kinabalu.

Mohd Arifin berkata, dengan adanya buku teks dan kurikulum yang diperhalusi itu akan dijadikan sebagai panduan kepada guru di seluruh sekolah agama di negeri ini.

“Taklimat juga sudah diberikan oleh bahagian pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di seluruh daerah di negeri ini.

“Penghasilan buku teks ini terdiri daripada panel yang terpilih dan memang berpengalaman iaitu guru dan pakar contohnya bagi mata pelajaran khat memang dari pakar khat.

“Walaupun tiada subjek yang baharu namun ia dikembangkan dan diubah suai supaya selaras dengan DSKP,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Arifin berkata, kerajaan telah menyediakan pembiayaan kos untuk mencetak buku teks berkenaan untuk diedarkan kepada semua murid di SAN.

“Ibu bapa sudah tentu bersyukur kerana mereka mendapat buku teks yang disediakan kerajaan secara percuma kerana sebelum ini mungkin mengalami kesukaran termasuk terpaksa membuat salinan buku teks yang lama.

“Kini murid sudah ada pinjaman buku di mana kerajaan menyediakan lebih RM2 juta untuk membiaya mencetak 27 buku teks berkenaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|