PRU-15, kita sudah cukup bersedia: UMNO Sabah

PRU-15, kita sudah cukup bersedia: UMNO Sabah

Kota Kinabalu: UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah cukup bersedia, menurut Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi.

Beliau berkata, pemimpin mahupun akar umbi terutamanya UMNO Sabah ternyata cukup bersedia menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Melihat kepada pemantauan dan tinjauan kami, nampaknya UMNO dan BN Sabah sudah bersedia daripada penyusunan serta sistem.

“Namun, saya juga ingin mengingatkan bahawa jangan cepat cuai atau lalai, masih terdapat unsur-unsur lain yang mesti diperbetulkan.

“Ia antara lain, ahli haruslah bekerja dengan ikhlas tanpa bersandarkan habuan semata-mata demi kita mencapai matlamat menawan kembali Putrajaya,” katanya.

Raime berkata demikian selepas program Pernaziran UMNO Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas lanjut,beliau yang juga ADUN DiLantik negeri pada masa sama menekankan supaya semua ahli parti meningkatkan perpaduan untuk mendepani cabaran PRU-15.

“Baik di sosial media atau berhadapan secara bersemuka dengan rakyat, kita perlu terangkan kepada mereka bahawa kita (UMNO/BN) telah terbukti mempunyai trek rekod yang berupaya menstabilkan ekonomi, sosio serta pembangunan ilmu kepada orang Sabah.

“Belajarlah dari kesilapan lalu, ramai yang terhasut dengan dakyah pembangkang yang membawa ketidakstabilan negara,” katanya.

Tamat

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|