Pendaki kanak-kanak warga British sesak nafas, muntah diselamatkan

Pendaki kanak-kanak warga British sesak nafas, muntah diselamatkan

Ranau: Seorang kanak-kanak warga British diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami sesak nafas dan muntah-muntah ketika mendaki, di sini, semalam.

Kejadian disedari kira-kira jam 6 petang selepas kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu dilaporkan ditempatkan di Bilik Rawatan Awal (Sick Bay) Substesen Panalaban bagi mendapatkan rawatan awal.

Kanak-kanak warga British selamat tiba di Timpohon Gate, untuk diberi rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

Kanak-kanak warga British yang alami sesak nafas dan muntah-muntah diselamatkan.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan kaedah ‘piggy back carry’ oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa dan pasukan penyelamat kemudiannya berjaya tiba di Timpohon Gate pada jam 10.18 malam.

“Pasukan operasi kemudiannya menyerahkan mangsa kepada pihak KOKTAS bagi dibawa ke penginapan di Kinabalu Park untuk transit dan direhatkan.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.48 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|