Mahu menang? Keluarlah zon selesa: Yakub

Mahu menang? Keluarlah zon selesa: Yakub

Kota Kinabalu: Ahli-ahli UMNO Sabah perlu keluar daripada zon selesa dan terus mendepani isu rakyat sekiranya mahu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, sebagai sebuah parti yang banyak dijadikan landasan perjuangan mempertahankan rakyat, beliau menyarankan bahawa ini adalah langkah tepat untuk memastikan kemenangan.

“Sejak akhir-akhir ini, semakin dekat tarikh menuju PRU-15, ada sahaja tohmahan, krtikan, khabar angin yang ditujukan kepada parti, pemimpin mahupun akar umbi UMNO di Sabah.

“Maka, kita semuanya bersedialah…baik peringkat pemimpin mahupun ahli biasa, ayuh keluar daripada zon selesa dan teruslah merangka strategi untuk memenangi hati rakyat pada PRU-15, “katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai pada masa sama menambah, ahli-ahli UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) di negeri ini turut dinasihatkan jangan bersikap ‘tunggu dan lihat’ sekiranya terdapat pihak cuba menabur fitnah, tohmahan dan kritikan tidak berasas dengan mengambil pendekatan holistik membalasnya menerusi fakta.

Menurut beliau, kesiapsiagaan jentera BN harus dipertingkatkan dan budaya mengharapkan habuan dielakkan supaya agenda menawan kembali Putrajaya dan mentadbir negara, dapat direalisasikan.

“Terutamanya di media sosial, janganlah berdiam diri jika pemimpin kita baik dari pusat mahupun negeri, pertahankan habis-habisan menerusi fakta yang ada.

“Perlu diingat, kita sewaktu PRU-14 telah menjadi sasaran dan mangsa fitnah media sosial ini, jadi janganlah sehingga perkara ini berulang kembali,” jelas Yakub.

Beliau dalam pada itu berpuas hati dengan program pernaziran 25 Bahagian UMNO Sabah yang tamat pada hari ini.

Jelas Yakub, siri jelajah program kesemua bahagian di Sabah itu antara lain sebagai pendekatan dua hala di antara Perhubungan Negeri dan Bahagian UMNO bagi memastikan kesiapsiagaan menjelang PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|