PRU-15: KDM sasar kerusi Tenom dan Papar

PRU-15: KDM sasar kerusi Tenom dan Papar

Kota Kinabalu: “Sudah pasti Tenom (kerusi Parlimen) kita tidak akan lepaskan,” kata Presiden Parti Kesejahteraan Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony.

Katanya, KDM juga turut menyasarkan kerusi Parlimen Papar untuk ditandingi pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Buat masa ini kita tidak memutuskan berapa kerusi yang kita akan tanding namun kita fokus untuk memperkukuhkan kedudukan di semua bahagian.

“Keputusan untuk kita bertanding dalam PRU-15 ini akan kita muktamadkan dalam masa terdekat apabila tiba masanya dan sudah pasti Tenom tidak akan kita lepaskan.

“Sebagai presiden saya akan pertahankan Parlimen Tenom, begitu juga Parlimen Papar,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat KDM, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai permohonan KDM untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, walaupun KDM belum diterima dalam gabungan itu namun parti itu kekal sebagai sebuah parti yang mesra kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Saya percaya Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Pengerusi GRS mempunyai pertimbangan sewajarnya untuk menerima kita atau tidak.

“Namun di peringkat saya, kami memberikan sokongan sepenuhnya kepada beliau selaku Ketua Menteri Sabah dan bagi saya tidak ada isu yang timbul sama ada KDM diterima atau tidak.

“Bagi kita apa yang penting ialah kelangsungan perjuangan kita akan teruskan, kita akan terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor walaupun belum diterima GRS,” katanya.

Peter yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN) keluar daripada parti itu dan menubuhkan sebuah parti baharu yang dikenali sebagai KDM.

Beliau dalam pada itu turut membuat permohonan untuk menyertai GRS namun sehingga kini perkara itu belum diputuskan oleh gabungan terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|