PRU-15: DAP beri jaminan bantu Christina kekal di Parlimen Tawau

PRU-15: DAP beri jaminan bantu Christina kekal di Parlimen Tawau

Tawau: DAP memberi jaminan akan menyokong sepenuhnya Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mempertahankan kerusi miliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ia adalah hasil pertemuan di antara delegasi DAP yang diketuai Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau, di sini, semalam.

Chin Tong berharap kerjasama erat di antara DAP dan PKR dapat memastikan kemenangan di Parlimen Tawau dan kawasan lain berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kami (DAP) mahu menyokong beliau (Christina) untuk menang supaya PH boleh menang.

“Kami akan habis-habisan di Sri Tanjong untuk memastikan kejayaan pilihan raya untuk PKR,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin bahawa PH Sabah perlu memenangi 10 kerusi Parlimen dan ia akan menyumbang kepada jumlah kerusi di seluruh negara.

“Kita memerlukan lebih banyak kerusi supaya kita berpeluang membentuk kerajaan seterusnya di peringkat Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau lagi, walaupun DAP tidak bertanding di Tawau pada PRU-15 namun parti itu menganggap persediaan yang dilakukan adalah sebagai latihan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada masa akan datang.

Sementara itu, Foong Hin turut menyatakan kesediaan DAP Tawau membantu Christina mempertahankan kerusinya di Parlimen Tawau.

Beliau berkata, hubungan baik dalam kalangan parti komponen PH Sabah adalah sangat penting untuk berhadapan pilihan raya itu nanti.

“Tidak harus timbul perasaan syak wasangka di kalangan kita sendiri. Kita menuju ke arah yang sama iaitu memastikan tiada kerusi yang disandang PH tewas dalam PRU-15.

“Kita di sini untuk melengkapkan jentera pilihan raya beliau (Christina) di Tawau,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|