KPDNHEP serbu stor diesel haram di Tawau

KPDNHEP serbu stor diesel haram di Tawau

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel dalam satu operasi di sebuah stor di Kampung Kobuta, Tawau, hari ini.

Dalam operasi jam 10 pagi itu, pasukan serbuan menemui dan menyita 2,090 liter diesel yang diletakkan di dalam tangki bersama sebuah lori, pam elektrik dan hos besar.

Lori disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita.

Semua peralatan dan kenderaan berkenaan disyaki digunakan untuk aktiviti menyeleweng minyak diesel bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, semua rampasan minyak diesel berkenaan dianggarkan bernilai RM35,993.50.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

“Maklumat serbuan diperolehi daripada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya dan hasil risikan KPDNHEP Sabah yang dijalankan selama tiga hari di lokasi.

“Berdasarkan siasatan awal, pekerja di lokasi berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Zulfamy berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

Katanya, siasatan akan turut dijalankan bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.

“Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Zulfamy berkata, KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

Sehubungan itu, Zulfamy berkata, KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan.

Katanya, ia bagi memastikan tiada lagi berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan di negeri ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui aplikasi Whatsapp ditalian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

“Ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|