Undang-undang tangani bangunan terbiar akan diwujudkan – Masidi

Undang-undang tangani bangunan terbiar akan diwujudkan – Masidi

Sandakan: Sabah akan mewujudkan undang-undang khas bagi menangani isu bangunan yang tidak diselenggara pemilik bangunan dan bangunan terbiar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bangunan terbiar terutama di kawasan bandar banyak memberikan masalah kepada masyarakat dan kebersihan sekitar.

Katanya, peruntukan undang-undang itu nanti membolehkan tindakan terhadap pemilik bangunan atau premis diambil agar memberikan kerjasama dalam menjalankan kerja penyelenggaraan bangunan milik mereka sendiri.

“Saya telah meminta mereka untuk merujuk perundangan peruntukan undang-undang tertentu daripada Peguam Besar Negeri Sabah sebagai panduan mengambil tindakan sesuai termasuk tindakan undang-undang terhadap pemilik premis yang enggan bekerjasama untuk menyelenggara bangunan.

“Malah ada juga saya difahamkan bangunan ditukar penggunaannya menjadi rumah burung walit dan sebagai peringatan, kerajaan negeri melalui Kabinet telahpun memutuskan bahawa pemelihaaran burung walit di kawasan perbandaran dan tempat tinggal tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat bersama Ahli Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), di sini, hari ini.

Katanya, langkah berkenaan diambil berikutan perbuatan membiarkan bangunan atau premis tanpa penyelenggaraan yang membawa pelbagai kesan negatif, termasuk membahayakan keselamatan orang ramai, menimbulkan isu kesihatan pembiakan nyamuk aedes dan menyebabkan keadaan persekitaran bandar kotor.

Justeru itu, katanya undang-undang untuk membendung keadaan itu perlu digubal dengan segera.

Dalam pada itu, Masidi berkata langkah menangani isu anjing liar di bandar Sandakan dan beberapa daerah lain di Sabah juga akan diambil.

Pada masa sama, Masidi menasihatkan Ahli MPT agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menyelesaikan sesuatu isu dan bukan hanya tahu menghentam pihak terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|