Projek UTC Sandakan, PPR Taman Harmoni perlu diteruskan

Projek UTC Sandakan, PPR Taman Harmoni perlu diteruskan

Sandakan: Projek Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sandakan yang dicadang ditempatkan di Menara Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), di sini perlu diteruskan setelah tertangguh sejak beberapa tahun lalu.

Penyelaras Bahagian Barisan Nasional (BN) Parlimen Sandakan, Datuk Lim Ming Hoo berkata projek itu perlu diteruskan bagi manfaat penduduk Sandakan dan kawasan berhampiran.

Beliau berkata, perkara itu adalah antara isu yang dibincangkan ketika kunjungan hormat beliau terhadap Presiden MPS, Benedict Asmat di Wisma Perbandaran, baru-baru ini.

Ming Hoo berkata, projek UTC Sandakan yang diluluskan kerajaan BN sebelum ini mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat selain membawa impak positif kepada pusat bandar Sandakan.

Selain itu, katanya beliau turut membangkitkan projek fasa 2 dan 3 PPR Taman Harmoni yang juga diluluskan kerajaan BN terdahulu, namun belum dilaksanakan.

“Jika projek ini diteruskan, kita juga minta agar kumpulan awal seramai 1,000 orang yang memohon mendiami PPR berkenaan diberikan keutamaan,” katanya.

Turut dibincangkan pada pertemuan itu, katanya ialah usaha untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan perbandaran Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|