26 kampung sertai Kempen Bersih Putatan

26 kampung sertai Kempen Bersih Putatan

Putatan: Sebanyak 26 kampung terlibat dalam Kempen Bersih Putatan yang dilaksanakan bermula April sehingga hujung tahun ini bagi memastikan Putatan sebagai daerah yang bersih.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, objektif kampung itu adalah untuk memupuk budaya pentingkan kebersihan terutama di kawasan masing-masing supaya rakyat hidup dalam keadaan sihat.

Shahelmey bersama penduduk kampung menyertai Kempen Bersih Putatan di pekarangan Pejabat Daerah Putatan.

“Kempen ini bermula April sehingga hujung tahun ini dan melibatkan 26 kampung di daerah ini. Selain itu, ia turut melibatkan kawasan perumahan yang ada di Putatan kerana kita percaya usaha atau Kempen Bersih Putatan ini perlu dilaksana secara total sebagai satu usaha membangunkan masyarakat di daerah ini.

“Pejabat daerah selaku urusetia sediakan takwim sepanjang tahun yang mana setiap bulan ada acara yang dirancang dan dilaksanakan dan kita akan buat pemantauan di setiap bulan untuk melihat bagaimana kempen ini efektif dan mencapai objektif dan akhir tahun nanti kita akan lihat semula untuk teruskan tahun berikutnya,” katanya selepas merasmikan kempen itu di pekarangan Pejabat Daerah Putatan, di sini, hari ini.

Shahelmey menyampaikan borang penyertaan pertandingan kebersihan keceriaan kampung dan taman perumahan di Putatan.

Ditanya berapa markah diberikan bagi tahap kebersihan di Putatan ketika ini, Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, setakat ini belum ada pemarkahan namun ia dilihat dalam keadaan yang kurang bersih.

“Kita belum ada gred markah untuk keadaan semasa tetapi kalau kita memandu dari Kota Kinabalu atau Lok Kawi melalui jalan raya kita boleh nampak sampah berselerak di kiri dan kanan bahu jalan.

“Bila lihat sungai kecil dan parti-parit juga nampak sampah malah di beberapa kedai, tingkat satu pokok tumbuh subur di beranda bangunan dan ini satu keadaan tidak sihat di pandangan mata serta tidak sihat dari sudut kesihatan.

“Maka, dengan itu tercetusnya idea untuk melaksanakan kempen ini dan dapat kerjasama pegawai daerah dan pegawai eksekutif untuk cuba jayakan budaya pentingkan kebersihan,” katanya.

Shahelmey bagaimanapun berkata, untuk tempoh ini pihaknya menjalankan pendekatan dan sebab itu perlunya semakan semula pada setiap bulan sepanjang kempen dilaksanakan.

“Kalau disambut secara positif, kita pasti buat kaedah beri ganjaran namun sekiranya ada kelembapan, kita lihat kenapa dan sekiranya perlu kaedah penalti. Kita akan lihat dan pantau dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|