Projek Solar Berskala Besar bantu tangani bekalan elektrik Sabah

Projek Solar Berskala Besar bantu tangani bekalan elektrik Sabah

Kota Kinabalu: Projek Solar Berskala Besar (LSS) dilihat mampu membantu menangani masalah kekurangan bekalan elektrik yang dialami beberapa kawasan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan ketika ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata aspek itu antara manfaat pembangunan projek LSS di Sabah yang akan dilaksanakan di Sandakan, Tawau, Kunak, Beaufort dan Papar selain Labuan pada tahun ini.

Takiyuddin (dua kanan) menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian kepada pemaju projek Solar Berskala Besar (LSS) sambil diperhatikan Hasan (dua kiri).

Katanya, sebanyak lapan syarikat pembida atau pemaju sudah dilantik bagi melaksanakan projek itu dengan kapasiti janaan tenaga keseluruhan sebanyak 67 megawatt (MT) membabitkan kos RM268 juta.

“Program LSS di Sabah dilaksanakan menerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) sejak 2017 dengan lapan syarikat berjaya dalam bidaan projek itu bagi tahun ini dan sudah memuktamadkan Perjanjian Pembelian Tenaga dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Kita berharap dengan pelaksanaan projek LSS di Sabah ini, ia akan dapat mengurangkan masalah ketidakcukupan bekalan tenaga yang dialami pengguna di negeri ini,” katanya kepada media selepas melancarkan projek LSS Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Abdul Razib Dawood; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Datuk Hamzah Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar.

Selain menambah bekalan tenaga yang disalurkan dalam sistem grid elektrik di Sabah dan Labuan, projek itu turut disasar sebagai antara usaha kerajaan meningkatkan penggunaan sumber hijau dalam penjanaan elektrik.

Menerusi penambahan 67 MW tenaga yang dijana Loji Fotovoltaik Solar Berskala Besar dibangunkan lapan syarikat terbabit, ia disasar mampu mengurangkan pelepasan karbon sehingga 50,000 tan setahun.

Takiyuddin berkata, projek LSS dijadikan sebagai ‘flagship’ kementeriannya bagi mencapai sasaran untuk meningkatkan penjanaan tenaga hijau atau Tenaga Boleh Baharu (TBB) sehingga 18,000 MW pada 2035 berbanding 8,700 MW pada masa ini.

Peningkatan sekali ganda itu, katanya menjadikan TBB menyumbang 40 peratus kepada bekalan tenaga negara pada 2035.

Katanya, kementeriannya turut menetapkan sasaran 31 peratus sumbangan TBB pada 2025 melalui pelbagai inisiatif penjanaan tenaga hijau termasuk menerusi projek Solar Berskala Besar (LSS).

“Pelaksanaan pembangunan TBB ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada kelangsungan sumber bahan mentah sebaliknya turut mesra alam kerana mengurangkan pelepasan karbon kepada alam sekitar.

“Justeru itu, perancangan peralihan tenaga sehingga 2040 menetapkan sasaran 31 peratus TBB dalam kapasiti terpasang pada 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

“Kapasiti terpasang bagi TBB di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 8,700 MW, manakala menjelang 2035 kapasitinya diunjurkan meningkat sekali ganda sehingga 18,000 MW,” katanya.

Terdahulu, Hasan berkata lapan pembida atau pemaju projek LSS itu disenarai pendek oleh pihak ST untuk pembangunan Loji Fotovoltaik Solar Berskala Besar di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya syarikat terbabit akan membangunkan loji masing-masing di daerah Sandakan, Tawau, Kunak, Beaufort, Papar dan Labuan.

“Pembangunan projek solar itu termasuk kerja reka bentuk, pembekalan, pembinaan, pengoperasian dan penyelenggaraan Loji Fotovoltaik Solar Berskala Besar bagi membekalkan tenaga elektrik di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, sempena majlis berkenaan, Takiyuddin turut menyempurnakan simbolik penyerahan dua rumah untuk golongan kurang bernasib baik hasil tanggungjawab sosial korporat TNB dan SESB atau dikenali Projek Baiti Jannati.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|