MPT setuju tempatkan mangsa kebakaran Kurnia Jaya di PPS Balung – Shahelmey

MPT setuju tempatkan mangsa kebakaran Kurnia Jaya di PPS Balung – Shahelmey

Putatan: Mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas, Batu 4, Tawau yang belum mendapat penempatan boleh berhubung dengan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balung.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan MPT berhubung perkara itu.

“Kita ada berbincang dengan Presiden MPT untuk lihat perkara ini sebab dari segi proses atau tatacara apabila bencana berlaku ada ‘time frame’ ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tempoh itu sudah lanjut.

“Jadi Presiden MPT setuju membuka PPS di Balung untuk menempatkan mereka yang sukar mendapat rumah selepas kebakaran berlaku.

“Jadi kita harap mangsa yang ada kesukaran itu berhubung dengan MPT bagi tujuan pendaftaran untuk duduk di situ untuk seketika sementara berusaha cari tempat boleh mereka diami,” katanya kepada media selepas merasmikan Kempen Bersih Putatan Tahun 2022 di pekarangan Pejabat Majlis Daerah Putatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha kerajaan dalam membantu mangsa yang masih belum ada penempatan berikutan dakwaan mangsa yang terpaksa mendirikan pondok di tepi jalan untuk berlindung ketika ini.

Sementara itu, diminta mengulas untuk penempatan semula mangsa di lokasi kebakaran, Shahelmey berkata, ia bergantung kepada pihak berkuasan tempatan (PBT) yang menguruskan perkara itu.

Dalam kejadian 18 Mac lalu, lebih 700 rumah di penempatan atas air kampung itu musnah akibat kebakaran dan menyebabkan lebih 1,000 penghuni hilang tempat tinggal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|