Guna dokumen palsu, lelaki didenda RM80,000

Guna dokumen palsu, lelaki didenda RM80,000

Kota Kinabalu: Tindakan seorang lelaki menggunakan dokumen palsu bagi membekalkan peralatan pejabat di sebuah jabatan di negeri ini membawa padah apabila dia didenda RM80,000 di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Koh Mui Huck, 54, dijatuhkan hukuman denda itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu.

Menurut pertuduhan, tertuduh pada 7 Jun 2017 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu surat daripada sebuah syarikat bertarikh 6 Jun 2017 yang diketahuinya sebagai palsu.

Dokumen itu digunakan untuk tujuan menipu bagi perkhidmatan membekal dan menghantar pelbagai jenis Toner Lexmark bagi kegunaan JPN.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang bekerja sendiri mengaku bersalah atas satu pertuduhan alternatif dan mahkamah menjatuhkan hukuman RM80,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara selama enam bulan.

Sebelum itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi dan tertuduh diwakili peguamnya, Chong Kian Ming.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|