Projek pembangunan tidak wajar ditangguhkan terutama di Sabah – Jafry

Projek pembangunan tidak wajar ditangguhkan terutama di Sabah – Jafry

Kota Kinabalu: Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin hari ini menegaskan bahawa projek pembangunan di negeri ini tidak wajar ditangguhkan bagi menghormati Perjanjian Malaysia (MA63).

Beliau berkata, langkah penjimatan perbelanjaan awam boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan bukannya dengan menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula terutama untuk Sabah.

“Usaha kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan merupakan langkah untuk menghormati MA63.

“Sabah harus dilayan secara adil dengan menghormati MA63 untuk kebaikan bersama dan jangan sekali-kali meminggirkan Sabah dalam arus pembangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan yang menangguhkan projek pembangunan yang bermula sebagai langkah penjimatan dalaman.

Katanya lagi, Sabah antara penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) namun jurang pembangunan masih ketinggalan dalam beberapa aspek jika dibandingkan dengan negeri di Semenanjung.

“Saya yakin dan percaya untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu dengan segala hasil kemakmurannya dikongsi secara adil oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|