Dasar penjimatan dalaman langkah ke belakang

Dasar penjimatan dalaman langkah ke belakang

Kota Kinabalu: Dasar penjimatan dalaman adalah langkah ke arah belakang, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar.

Katanya, Sabah jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan yang melibatkan keperluan asas rakyat seperti bekalan air bersih, bekalan eletrik dan jalan raya.

“Adakah Sabah perlu menunggu untuk 10, 20 atau 30 tahun lagi untuk menikmati keperluan asas? Tindakan tersebut jelas tidak sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Penangguhan dan pembatalan projek pembangunan yang belum dimulakan akan menyebabkan Sabah gagal bergerak sejajar dengan pembangunan di Kalimantan, Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, perlu meneliti sudut implikasi jangka masa panjang ekonomi rakyat dan negara.

“Sabah dan Sarawak menyumbang sebanyak 60 peratus daripada hasil petroleum negara yang menjadi teras sumber pendapatan selama hampir 59 tahun.

“Sabah dan Sarawak turut menyumbang sebanyak kurang lebih 45 peratus hasil pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia yang bernilai melangkaui 29 bilion pada tahun 2021.

“Tambahan, Sabah menyumbang sebanyak 59 peratus daripada hasil pengeluaran koko iaitu sebanyak 540 tan metrik pada tahun 2021,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan tetap gagal dan enggan menunaikan tuntutan 40 peratus hasil cukai kepada kerajaan Sabah.

“Kini, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertindak untuk membatalkan dan menangguhkan projek pembangunan yang belum dimulakan.

“Mendesak agar kerajaan Persekutuan membatalkan atau menolak cadangan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang jelas merugikan Malaysia

“Usahlah ibarat ‘nasi habis budi bersua’. Jangan sehingga rakyat Negeri Sabah merasakan ‘diberi susu dibalas tuba’,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|