Beri kepercayaan kepada Embalo – Kim Swee

Beri kepercayaan kepada Embalo – Kim Swee

Kota Kinabalu: Meskipun menerima kritikan dan kecaman di media sosial, penyerang Import Sabah FC, Jose Embalo akan terus diberi kepercayaan dalam kesebelahan utama untuk aksi Liga Super bertemu Terangganu FC di Stadium Likas, malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, Embalo tetap diturunkan pada perlawanan esok dan akan terus menilai prestasinya meskipun mendapat kritikan dan kecaman di media sosial.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, sebelum ini Embalo telah turun bermain dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.

“Embalo akan pasti diturunkan untuk menilai prestasinya. Ini bukan satu perkara baru bagi saya, Embalo baru hadir dan kita harus memberikan kepercayaan di mana kita tahu untuk mengadaptasi dengan pemain kita. Ia akan mengambil sedikit masa.

“Namun saya akan tetap memberi kepercayaan kepada Embalo dan saya ingin melihat beliau mampu membuktikan dia seorang penyerang yang berbisa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee berharap dan meminta kepada penyokong The Rhinos untuk tidak mengulangi kesilapan lalu khususnya yang membabitkan insiden-insiden yang tidak diingini.

Katanya, penyokong mempunyai emosi termasuk pemain dan juga pegawai, tetapi dalam bola sepak kita harus mengekalkan disiplin dan memastikan kita bukan sahaja dihormati sebagai pasukan yang baik tetapi mempunyai penyokong yang cukup positif.

“Jadi saya harap penyokong akan hadir memberi sokongan kepada pasukan Sabah.

“Saya juga harap penyokong untuk terus hadir menyokong bukan hanya dalam perlawanan menentang kelab seperti JDT tetapi dalam semua perlawanan yang diadakan khususnya esok selain perlawanan menentang Selangor FC bagi aksi suku akhir Piala FA,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pasukan Terengganu FC, Kim Swee berkata, pasukan itu satu pasukan yang baik meskipun lewat untuk memastikan berada dalam kelompok terbaik.

“Kita dapat lihat kebelakangan ini mereka mencapai dua kemenangan berturut-turut jadi kita tidak boleh mengambil mudah seperti saya katakan bukan sahaja JDT, Terengganu tetapi semua pasukan yang terbabit dalam Liga Super kita harus menghormati dan kita harus berada pada tahap yang cukup baik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|