Kota Kinabalu: Pelaksanaan empat pakej Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur bagi laluan Kinabatangan-Telupid disasar untuk menyelesaikan isu kerosakan jalan raya sedia ada yang menimbulkan rungutan pengguna termasuk yang ditularkan di media sosial.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata projek itu akan menyelesaikan kerosakan yang kerap berlaku di laluan terbabit terutama dari Batu 32 Sandakan hingga ke simpang Sapi Nangoh dan Telupid.
Beliau berkata, sementara menunggu projek itu siap dalam tempoh dua tahun, jalan raya sedia ada akan dibaiki dari semasa ke semasa oleh pihak konsesi bagi mengurangkan keadaan tidak selesa yang dialami pengguna.
Katanya, kerajaan tidak bercadang untuk membina semula jalan raya di laluan yang sama kerana ia akan menyebabkan pembaziran kos perbelanjaan memandangkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur Kinabatangan-Telupid juga menggunakan laluan yang sama.
“Untuk jangka masa pendek, apa yang kementerian kami lakukan ialah meminta konsesi yang terlibat mengendalikan jalanraya di kawasan itu agar terus memantau dan membaiki kerosakan yang berlaku agar tidak menimbulkan kesukaran kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Beliau mengulas rungutan pengguna yang sering menggunakan laluan Kinabatangan-Telupid yang terpaksa berdepan pemanduan tidak selesa disebabkan keadaan jalan raya yang rosak dan berlubang.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata kerosakan yang sering berlaku di laluan terbabit berpunca daripada struktur jalan raya yang lemah tidak mampu menampung beban kenderaan berat khususnya lori membawa muatan kelapa sawit yang banyak beroperasi di kawasan berkenaan.
Katanya, menjadi tanggungjawab pihak konsesi yang dilantik oleh kerajaan untuk memantau dan memperbaiki jalan raya terbabit kerana ia terkandung dalam perjanjian yang dipersetujui.
“Kerja-kerja pembaikan dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak konsesi bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar kesal dengan sikap netizen yang tidak bertanggungjawab menularkan isu kerosakan jalan raya di media sosial tanpa membuat sebarang penelitian dengan menyasarkan pemimpin, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan.
“Perlu diingat tidak semua jalan raya yang ada di Sabah di bawah kendalian JKR kerana ada jalan pertanian, jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jalan ladang yang bukannya menjadi tanggunjawab JKR,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata jika jalan terbabit menjadi tanggungjawab JKR, tindakan serta merta akan diambil untuk memperbaikinya setelah laporan diterima.
Dalam perkembangan yang sama Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag meminta Pejabat Daerah melalui Majlis Tindakan Daerah negeri agar dapat menyerahkan senarai status jalan terkini yang memerlukan perhatian baik pulih atau penyelenggaraan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) agar tindakan sewajarnya dapat dilakukan.
Katanya, status jalan sahih yang diperoleh tetapi bukan di bawah seliaan KKRS membolehkan KKRS memohon dana dan perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap jalan terbabit bagi menyegerakan proses baik pulih atau penyelenggaraan di laluan yang rosak.
Dalam hal lain, KKRS baru-baru ini meraikan 40 kanak-kanak dari rumah Anak Yatim Amal Kasih Kingfisher dan Rumah anak Yatim Anak Kesayangan Sembulan sempena majlis iftar atau berbuka puasa bersam warga kementerian berkenaan.
Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada kedua-dua rumah anak yatim terbabit dan anak-anak yatim yang menjadi penghuninya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Mohd Jasmin Juplin dan Pengarah JKR negeri, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid.
-Deasoka