PATI menceroboh masuk, diusir keluar

Sandakan: Tindakan berterusan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam menjaga perairan negara berjaya mengesan cubaan tiga bot laju menceroboh masuk ke perairan daerah ini, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasukan operasi PPM yang melakukan rondaan di kawasan sekitar terus melakukan pintasan dan pengusiran terhadap bot warga asing terbabit.

Pegawai operasi PPM Sandakan mengusir semua warga asing terbabit keluar daripada perairan negara.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, cubaan pencerobohan PATI itu dikesan anggota PPM ketika melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab.

Katanya, sebaik bot berkenaan dikesan dalam keadaan yang mencurigakan, pasukan operasi terus melakukan pemintasan di perairan jiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati, juragan bot terbabit mendakwa berasal daripada Filipina dan membawa hasil laut untuk dijual.

“Bot berkenaan kemudiannya diusir keluar dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdin berkata, PPM Sandakan sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya daerah Sandakan.

Katanya, ia bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19 selain jenayah rentas sempadan.

“PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung ke Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|