180 anak yatim, OKU, mualaf terima sumbangan Ramadan dan Aidilfitri di Tuaran

Tuaran: Seramai 180 orang terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan mualaf di daerah ini menerima sumbangan bakul makanan dan duit raya sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajijj Noor pada majlis penyampaian di Tembaraku, Kampung Serusop, di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada penerima di Tuaran.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada pengerusi dan imam masjid serta surau yang ada di sekitar Parlimen Tuaran.

Selain itu, sebanyak 28 masjid dan 25 surau menerima sumbangan kurma dengan setiap masjid menerima tujuh kotak kurma manakala surau menerima lima kotak kurma untuk diagih-agihkan kepada jemaah masing-masing.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, sumbangan itu serba sedikit diharap dapat membantu meringankan beban golongan penerima menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abd Kassim Razali; Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran (MDT), Jamlin Ladin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Sulaman, Encik Murneh Lamsari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|