Transporter angkut PATI pulang beraya

Tawau: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ untuk membawa tiga wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang beraya.

Lelaki berusia 33 tahun itu bersama tiga PATI berusia 10 hingga 42 tahun ditahan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika menjalankan rondaan Op Taring di kawasan Inderasabah, jam 11.30 malam kelmarin.

Pemandu bersama kereta yang ditahan kerana membawa PATI.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika anggota Batalion 14 Tawau menjalankan rondaan menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu seorang lelaki dan tiga wanita dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemandu terbabit enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan didapati penumpang kereta terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil soal siasat terhadap pemandu mendapati menerima upah RM150 untuk membawa PATI terbabit pulang beraya dari Sungai Imam ke Kampung Wakuba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Sri Indah kerana disyaki terbabit dengan Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan 55E(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|