Program We Be-Leaf Together tanam 2,200 pokok

Program We Be-Leaf Together tanam 2,200 pokok

Putatan: Sebanyak 2,200 pokok akan ditanam di seluruh negara di bawah inisiatif program We Be-Leaf Together (WBT) yang dilaksanakan Kelab Belia Prihatin (KBP).

Presiden Pengasas KBP Malaysia, Luqman Hakim Md Zim berkata, program itu dilaksanakan sepanjang tahun ini dan sebagai permulaan Sabah adalah lokasi pertama penanaman pokok berkenaan.

Jeffrey (dua dari kanan) bersama Luqman Hakim (kanan) menyempurnakan simbolik penanaman pokok jambu di Tabika Perpaduan Taman Jumbo, Putatan.

Katanya, KBP adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan selain sebagai ahli anggota rasmi YOUNGO yang merupakan sayap rasmi kepada kanak-kanak dan belia bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

“Tahun ini kita fokus kepada isu-isu perubahan iklim dan alam sekitar dan Sabah negeri pertama pelaksanaan program ini untuk penanaman 2,2000 pokok termasuk 150 daripadanya ditanam hari ini di tiga lokasi Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di sekitar Kota Kinabalu.

“Kita memilih pokok-pokok yang mengeluarkan hasil seperti pokok jambu, pokok pisang dan pokok betik supaya murid ini nanti dapat menuainya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran inisiatif belia prihatin alam sekitar, WBT yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan di Tabika Perpaduan Taman Jumbo, Petagas, di sini, hari ini.

Katanya lagi, pihaknya memilih kawasan pusat bimbingan awal kanak-kanak untuk pelaksanaan penanaman pokok terbabit.

“Kita rancang untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim dan alam sekitar yang berlaku dan keduanya berkaitan kanak-kanak bantut.

“Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) satu daripada tiga kanak-kanak di negara ini bantut, jadi apa yang kita bawakan adalah dengan menanam pokok-pokok ini di kawasan Tabika supaya mereka mendapat makanan yang berkhasiat hasil,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, program itu adalah sebagai mesej yang dihantar kepada seluruh dunia bahawa pentingnya untuk menjaga alam sekitar.

“Kita akan bantu menurunkan balik suhu iklim di mana dunia sangat risau dengan perubahan iklim yang dihadapi.

“Hari ini kita tanam pokok yang boleh menghasilkan buah dan boleh dimakan untuk membantu kurangkan masalah kebantutan disebabkan kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|