Labuan: Cubaan seorang lelaki menyeludup keluar minuman keras daripada daerah ini berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di perairan Laut Menumbok, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, suspek yang menaiki sebuah bot bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas sanggup membuang semua minuman berkenaan ke laut.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM WP Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, kejadian berjaya dikesan sepasukan anggota yang sedang melakukan rondaan.
Katanya, sebaik terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus mendekati bot berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, ketika diarahkan berhenti, suspek tidak mengedahkan arahan dan sebaliknya terus memecut laju melarikan diri.
“Sejumlah minuman keras juga didapati terapung di permukaan air selepas dibuang oleh suspek semasa dikejar pasukan operasi PPM,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Saidul Maruf berkata, bot berkenaan terus memecut laju dan berjaya meloloskan diri sehingga tidak dapat dikesan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap minuman keras yang dibuang adalah tidak bercukai dan dipercayai ingin diseludup ke Tanah Besar Sabah.
“Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM11,553 dan Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Sehubungan itu, Saidul Maruf berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197
-Deasoka